Kenyataan Media

SPRM Serah Perintah Notis Kepada Mirzan Mahathir

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan bin Mahathir semalam ke Ibu Pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Mirzan hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

18 JANUARI 2024


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |