Kenyataan Media

SPRM Lapor Polis Pernyataan Palsu Oleh Ahli Parti Bersatu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah membuat satu laporan polis berhubung dengan satu hantaran dalam aplikasi TikTok atas nama pemilik akaun @wancin11.

Di dalam hantaran berkenaan, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Razali bin Idris telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November 2023.

Beliau telah menyatakan bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim dikawal oleh kerajaan semasa, serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan.

SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.

SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.

Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah dan tohmahan tersebut.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA
15 NOVEMBER 2023


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |