Kenyataan Media

Penyelewengan Dana 1MDB : SPRM Giat Siasat Penglibatan Individu di Luar Negara

Merujuk kepada dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan melibatkan beberapa individu di Kuwait berkaitan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa siasatan tersebut telah dilakukan dan masih giat dijalankan.

SPRM sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset/wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain yang terlibat.

Setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit.

Sejak dua tahun lalu, SPRM telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.

Ketika ini, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA). Perkara tersebut masih lagi dalam kajian pihak Kuwait.

Dalam pada itu, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai, 2022, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara.

Semua pihak dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

4 SEPTEMBER 2022


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |