Berita Terkini

Pelan Strategik Pemacu Masa Hadapan SPRM- Dato’ Shamshun

PUTRAJAYA, 13 Julai, 2020 – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil merasmikan Bengkel Penyelarasan Pembangunan Pelan Strategik SPRM 2021-2025 Bil. 1/2020 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Pelan ini dirangka bertujuan untuk memacu Gerakan Transformasi SPRM 1.0 pada tahun 2010 yang telah menetapkan dasar supaya Suruhanjaya ini menjadi sebuah organisasi yang berteraskan strategi.

Pelan Strategik SPRM adalah pelan induk yang menjadi asas penting kepada penunaian fungsi dan pentadbiran baik Suruhanjaya ini ke arah pencapaian visi dan misi yang telah ditetapkan.

Bengkel Penyelarasan Pembangunan Pelan Strategik SPRM 2021-2025 Bil. 1/2020 diadakan selama empat hari bermula 13-16 Julai 2020.

Bengkel ini bertujuan untuk mengenalpasti isu dan permasalahan yang dihadapi oleh SPRM dalam menjalankan fungsi tugas mengikut peranan masing-masing dan merupakan platform untuk mencari syor penambahbaikan yang bersesuaian sebagai keberhasilan yang dikehendaki untuk menetapkan inisiatif dan pelan tindakan komprehensif dalam fasa pembangunan seterusnya.

Dato’ Shamshun Baharin dalam ucapannya berkata, Perancangan Strategik SPRM ini merupakan satu proses bagi menentukan bagaimana memacu SPRM daripada keadaan semasa kepada hala tuju yang dihasratkan pada masa hadapan.

“Pelan Strategik ini juga merupakan sumber rujukan utama dalam memformulasikan kaedah dan sasaran pelaksanaan fungsi SPRM dan pentadbiran baik Suruhanjaya ini sebagaimana tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009.

“Saya menyeru kerjasama dan komitmen penuh daripada semua Bahagian untuk merancang dan mengawal selia pembangunan pelaksanaan inisiatif, pelan tindakan dan aktiviti bagi tahun 2021-2025 yang merupakan di bawah tanggungjawab bahagian masing-masing.

Tambah beliau, Pengarah Bahagian SPRM perlu bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan aspirasi pembangunan Pelan Strategik SPRM ini dapat dijayakan dengan sempurna bagi memastikan manfaat terbaik kepada SPRM dalam pencegahan rasuah di Malaysia.

Pendekatan pengendalian bengkel ini juga diharapkan untuk menjadikan SPRM lebih responsif dan mampu menyesuaikan diri untuk memanfaatkan peluang yang ada bagi mencapai hala tuju pada masa hadapan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, selaku Pengerusi Penyelaras Program TPj Mohd. Hafaz Nazar; 43 orang Pegawai Kanan SPRM terdiri daripada Timbalan Pengarah Bahagian, Timbalan Pengarah SPRM Negeri Selangor, SPRM Kuala Lumpur dan SPRM Putrajaya serta wakil bahagian sebagai desk officer.

Hit : 2791