Berita Terkini

Uzbekistan Tertarik Inisiatif Pencegahan Rasuah SPRM

PUTRAJAYA, 5 Ogos – Kedutaan Uzbekistan di Malaysia hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketibaan Duta Uzbekistan di Malaysia, Ravshan Usmanov dan dua lagi pegawainya disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki kira-kira jam 10.30 pagi dan beliau turut meluangkan masa hampir dua jam bersama mereka.

Ravshan berkata, pihaknya mengadakan pertemuan ini bagi mengukuhkan hubungan dan mencari jalan terbaik untuk bekerjasama dengan lebih meluas terutamanya dalam usaha membanteras rasuah ke dua buah negara.

"Uzbekistan berhasrat untuk berkolaborasi dan berkongsi peluang kepakaran dengan SPRM untuk memperkasakan akta berkaitan pencegahan rasuah di Uzbekistan”, katanya.

Tambah beliau, Uzbekistan juga berminat untuk mengadakan persidangan video bersama SPRM berkaitan latar belakang SPRM, fungsi, amalan terbaik serta bercadang untuk Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SPRM dengan negaranya.

Datuk Seri Azam menyambut baik peluang kerjasama ini dan bersedia untuk berkongsi maklumat mengenai penguatkuasaan akta SPRM, inisiatif-inisiatif dan isu-isu berbangkit berkaitan pencegahan rasuah serta bersetuju dengan saranan Uzbekistan yang berhasrat untuk menggunakan platform dalam talian bersesuaian dengan keadaan ketika ini.

Turut serta dalam kunjungan ini Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Pegawai Urusetia Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, TPj Mohd. Hafaz Nazar.

 

Hit : 1896