Berita Terkini

Impak Globalisasi Bukan Halangan SPRM Diktiraf Sebagai Agensi Antirasuah Bertaraf Dunia

PUTRAJAYA, 25 Ogos - Pendekatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan tugas perlu disesuaikan mengikut peredaran masa seiring dengan perkembangan di peringkat global agar suruhanjaya ini diiktiraf sebagai sebuah agensi antirasuah bertaraf dunia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki memberikan contoh, sektor operasi akan memberi penekanan kepada kes-kes rasuah melibatkan ketirisan dana kerajaan, jenayah rasuah secara bersindiket yang mendatangkan impak besar serta kes-kes melibatkan kepentingan awam dan berprofil tinggi.

"Walaupun berdepan dengan kekangan seperti kekurangan bajet dan anggota, cabaran ini tidak menjadi halangan kepada SPRM untuk meneruskan perjuangan dalam usaha memerangi rasuah."

"Oleh yang demikian, diharapkan anggota badan-badan pemantau bebas SPRM akan memberi pandangan serta membantu SPRM dalam memainkan peranannya agar misi dan visi suruhanjaya ini dapat dicapai seperti yang ditetapkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada sesi pembukaan Onboarding Program Dan Taklimat Khas Kepada Badan Pemantau Bebas SPRM 2020 yang berlangsung di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Selain sesi taklimat pengenalan, struktur organisasi dan pelaksanaan serta fungsi SPRM yang disampaikan oleh Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, turut diadakan ialah sesi taklimat oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) berkenaan perkembangan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 - 2023.

Turut hadir Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Dato' Junipah Wandi dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Pegawai-pegawai Kanan SPRM.

 
 

 

Hit : 2015