Berita Terkini

APEC ACTWG Pemangkin Kerjasama Berterusan Anti Rasuah

PUTRAJAYA, 23 Okt - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki optimis terhadap penganjuran Mesyuarat "31st Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) Anti-Corruption and Transparency Experts Working Group (ACTWG)" mencapai matlamatnya.

Mesyuarat yang berlangsung hari ini adalah penutup sejak APEC ACTWG anjuran SPRM bermula pada 19 Oktober lalu di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM.

Mesyuarat secara maya itu dipengerusikan oleh Datuk Seri Azam dan disertai wakil 21 buah ekonomi APEC bagi membincangkan usaha dan inisiatif pencegahan rasuah di rantau Asia Pasifik.

Datuk Seri Azam berkata, semua pihak perlu memainkan peranan yang penting dalam agenda memerangi rasuah untuk memakmurkan negara.

"Kita perlu tegas supaya rasuah dibanteras oleh semua lapisan masyarakat meliputi penjawat awam, pekerja kolar putih dan biru, ahli akademik dan pelajar dengan satu misi untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik tanpa rasuah.

"Oleh sebab itu, pertemuan secara maya ini telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, agensi penguatkuasaan, organisasi antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama," ujar beliau.

Tambahnya, penyelesaian dalam memerangi rasuah terletak pada setiap individu untuk mempunyai tanggungjawab bersama bagi menanganinya.

Di samping itu, beliau juga berharap wakil 21 buah ekonomi APEC ini mendapat manfaat mengenai topik mengenai langkah pencegahan rasuah dan ketelusan yang berkaitan dengan wabak Covid-19: dasar, amalan dan langkah baik serta mempelajari pengetahuan antara satu sama lain untuk menjadikan usaha kita menentang rasuah dengan lebih berkesan dan realistik.

Sempena APEC ACTWG itu, sebuah bengkel bertajuk Capacity Building Workshop on Exposing the Unseen Hands: Tackling Concealment of Beneficial Ownership turut diadakan secara maya bagi mengupas topik dan isu-isu semasa berkaitan pemilikan benefisiari pada 19 hingga 20 Oktober 2020. 

Selain itu, mesyuarat maya ke-7 Network on Anti-Corruption Authorities and Law Enforcement Agencies (ACT-NET) juga dijalankan pada 21 Oktober 2020.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya selaku Ketua Delegasi Malaysia serta wakil Delegasi Malaysia PKPj Premraj Isaac Dawson Martin Victor dari Bahagian Dasar, Perancangan & Penyelidikan.

Hit : 2380