Berita Pendidikan

Program Pengukuhan Integriti Dalam Pengurusan Perolehan & Penguatkuasaan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Pahang Tahun 2024

INDERA MAHKOTA, 26 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang dengan kerjasama SPRM Negeri Pahang telah menganjurkan Program Pengukuhan Integriti Dalam Pengurusan Perolehan dan Penguatkuasaan serta Majlis Ikrar Bebas Rasuah sempena Perhimpunan Bulanan Peringkat JBPM Negeri Pahang. Program dihadiri seramai 120 orang pegawai dan kakitangan daripada kesemua Balai Bomba dan Penyelamat setiap daerah bertempat di Dewan Sri Mahkota, JBPM Negeri Pahang.


Program dimulakan dengan sesi bual bicara rasuah bersama pegawai SPRM Negeri Pahang, PPs Mohd Fairoz Izwan bin Abdullah dari Cawangan Pendidikan Masyarakat yang menyentuh isu-isu berkaitan perolehan dalam tatacara kewangan jabatan. Sesi ini juga turut menyentuh isu Permohonan Kelulusan Pelan dan Pemeriksaan Bangunan oleh pihak bomba yang mana wujud ruang dan peluang rasuah jika tidak diuruskan mengikut peraturan.


Program diakhiri dengan Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh PKPjB Dato' Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi bin Wan Isa, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang dan disaksikan oleh KPKPj Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim, Pengarah SPRM Negeri Pahang.

Hit : 765