Berita Pendidikan

Program Pemantapan Antirasuah Dan Integriti Dalam Pengurusan Perolehan Peringkat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Tahun 2024

PEKAN, 13 Mac – SPRM Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah melaksanakan Program Pemantapan Antirasuah dan Integriti Dalam Pengurusan Perolehan. Program dihadiri seramai 150 orang pegawai dan kakitangan terdiri daripada JAIP, PAID, Pegawai Agama Daerah dan Pengetua-Pengetua sekolah menengah agama negeri bertempat di Dewan Ibnu Sina, Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan, Pahang.


Turut hadir adalah kakitangan Pusat Tanggung Jawab (PTJ). Mereka ini bertanggungjawab dalam mengurus dan mengawal sumber kewangan tertakluk kepada undang-undang dan peraturan Perbendaharaan.


Program dimulakan dengan sesi bual bicara rasuah bersama KPKPs Mohamad bin Hussain daripada Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Pahang yang menyentuh isu-isu perolehan dalam tatacara kewangan jabatan dan berkenaan isu pengurusan tabung masjid.


Program diteruskan dengan menjemput 'key communicator' Encik Mohd Firdaus bin Ramlan, bekas Majistret yang banyak menyumbang pengetahuan dan pengalaman beliau dalam mendepani isu-isu rasuah. Dalam perkongsian beliau, beberapa elemen kesedaran mengenai implikasi rasuah telah dikongsi kepada para peserta.


Turut diadakan Sesi Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) JAIP 2024-2028 dengan visi Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang “Pahang Maju Bebas Rasuah” yang berlandaskan bidang keutamaan iaitu Pentadbiran, Sumber Manusia, Kewangan dan Perolehan serta Operasi.


Program diakhiri dengan Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle bin Haji Ali, Pengarah JAIP dan disaksikan oleh KPKPj Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim, Pengarah SPRM Negeri Pahang.

Hit : 868