Berita Menarik

Prasarana dan SPRM Perbaharui MoU Kali Ketiga, Tekad Jalin Kerjasama Berterusan

PUTRAJAYA, 20 Dis – Prasarana Malaysia Berhad dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tekad meneruskan jalinan kerjasama dalam usaha pengukuhan integriti serta pencegahan rasuah dengan pembaharuan semula Memorandum Persefahaman (MoU) buat kali ketiga.

 

Pembaharuan MoU ini dimeterai oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah dengan disaksikan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Prasarana Malaysia Berhad dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Ibu Pejabat SPRM.

 

SPRM dan Prasarana telah memeterai MoU kerjasama kali pertama pada 2012, dan pada 2016 buat kali kedua. Justeru, MoU pada tahun ini merupakan kesinambungan kepada dua MoU terdahulu yang diharap akan terus menjadi pemangkin kepada penambahbaikan dalam agenda membanteras rasuah.

 

Tan Sri Dato’ Sri Azam dalam ucapannya berkata, SPRM akan sentiasa memberi kerjasama kepada Prasarana dalam membantu agensi itu memperkasakan integriti melalui aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah.

 

“SPRM menghargai usaha Prasarana dalam meneruskan kerjasama ini kerana kami di SPRM sememangnya memberi fokus kepada usaha untuk mengurangkan ketirisan dana kerajaan.”

 

Turut hadir, ahli lembaga pengarah Prasarana, Dato’ Seri Haji Mustafar Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, TPj Nazli Rasyid Sulong.


Hit : 1468