Berita Menarik

Forum ‘Leading Governance With Integrity’ Dan IBR Platform Tepat Menyemarak Pembudayaan Integriti Di MAHB

SEPANG, 20 Dis  – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah hadir menyaksikan tekad Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam memperkukuhkan integriti dan usaha pencegahan jenayah rasuah warga MAHB melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di Hotel Sama-Sama, KLIA.

 

Majlis Ikrar Bebas Rasuah ini telah diketuai oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, En. Mohamed Rastam Shahrom dengan diiringi seramai 220 orang warga kerja MAHB  disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan bin Mohd Razali. Turut hadir pada majlis ini, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, TPj Nazli Rasyid Haji Sulong.

 

Datuk Seri Norazlan ketika menyampaikan ucaptama pada majlis ini mengingatkan tugas pencegahan jenayah rasuah adalah komitmen setiap warga kerja bermula daripada pengurusan tertinggi sehingga ke kakitangan sokongan. Nilai murni integriti perlu menjadi nadi dalam pengurusan organisasi GLC seperti MAHB. Elemen pembangunan modal insan seperti pengukuhan integriti perlu sentiasa diamalkan pada setiap masa serta ketelusan dan amanah dalam melaksanakan tugasan perlu menjadi prinsip utama warga MAHB.

 

Terdahulu SPRM telah diundang untuk menyampaikan ceramah dan perkongsian ilmu mengenai fungsi, peranan SPRM dan Liabiliti Korporat, Seksyen 17A, Akta SPRM 2009 yang disampaikan oleh Ps Thilak a/l Munusamy dari Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat pada sesi pagi manakala sesi petang telah diadakan Sesi forum ‘Leading Governance with Integrity’ di mana moderatornya ialah Puan Shuhairoz binti Mohamed Shukeri, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan dan Pengurusan MAHB, dengan tiga (3) panel jemputan iaitu PKPj Mohd Hasraff bin Hashim, Ketua Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat, En. Dominic Chegne How Kooi, Presiden Institute of Internal Auditor Malaysia (IIAM) dan En. Ahmad Qadri Jahubar Santhik, Partner of Ernst & Young PLT.

 

Program literasi pencegahan jenayah rasuah ini juga telah melibatkan pameran interaktif daripada SPRM yang mempertontonkan video perkhidmatan dan bahan-bahan pameran berkaitan peranan dan fungsi SPRM serta alat poligraf dalam memberikan pendedahan dan pendidikan pencegahan rasuah kepada masyarakat secara meluas.


Hit : 1451