Berita Menarik

Bual Bicara Antirasuah Dan Dialog Terbuka Pencegahan Rasuah Pengarah SPRM Negeri Terengganu Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Nov - Bertempat di Elysium Hall, Jambatan Angkat Kuala Terengganu telah berlangsung Program Bual Bicara Antirasuah Dan Dialog Terbuka Pengarah SPRM Negeri Terengganu bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri Sempena Bulan Integriti Nasional.

 

 

Program ini dihadiri lebih 50 orang peserta terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan Negeri Terengganu termasuk Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri, Prof. Madya Dato’ Mufti Negeri Terengganu, Pengarah- Pengarah Jabatan, Pegawai Kanan Negeri, Pegawai Daerah Negeri dan Yang Dipertua PBT seluruh Negeri Terengganu.

 

 

KPKPj Hazrul Shazreen bin Abd Yazid, Pengarah SPRM Negeri Terengganu telah menyampaikan ceramah bertajuk “Tadbir Urus Baik Organisasi Benteng Cegah Rasuah”. Pengisian ceramah adalah berkenaan kesalahan penyelewengan dana kerajaan, tuntutan palsu dan kesalahan rasuah yang sering berlaku dalam organisasi. Beliau juga mengingatkan ketua-ketua jabatan agar sentiasa mengukuhkan tadbir urus yang baik dan kepimpinan yang berintegriti.

 

 

Sesi dialog mendapat maklum balas daripada peserta dengan pelbagai soalan berkaitan dengan isu-isu rasuah dalam pentadbiran organisasi. Di akhir program ini beliau mengambil kesempatan untuk mempromosikan inisiatif potongan cukai bagi pelaksanaan program berkonsepkan antirasuah kepada ketua-ketua jabatan dan memperlawa agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah di jabatan masing-masing.

 

 

Program ini telah dirasmikan oleh YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Dato' Seri Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK).

Hit : 1053