Berita Menarik

Warga AGC Lafaz IBR Perangi Rasuah Bersama SPRM

PUTRAJAYA, 16 Nov - Seramai lebih 300 warga Jabatan Peguam Negara (AGC) telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen memerangi rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Lafaz IBR diketuai oleh Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Encik Khairul Azreem Mamat yang disertai Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya bersama lebih 300 warga AGC di Jabatan Peguam Negara.

 

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR ini juga sebagai tanda refleksi komitmen warga kerja AGC bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan akan disempurnakan dengan berintegriti dan bersandarkan prinsip tata kelola yang baik dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

 

Pada majlis ini, turut diadakan ceramah daripada SPRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) selain pameran yang disertai SPRM, SKMM, AKPK, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

 

Turut hadir Peguam Cara Negara, Datuk Almalena Sharmila Johan; Peguam Cara Negara II, Dato’ Suzana Atan; Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Dato' Tan Kang Sai; Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM; TPj Nazli Rasyid Sulong.


Hit : 1050