Berita Menarik

Bengkel Anti Rasuah Dan Integriti Dalam Tadbir Urus Perolehan Kerajaan Tahun 2023

KUALA TERENGGANU, 8 Nov -  SPRM Negeri Terengganu bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu telah menganjurkan Bengkel Anti Rasuah Dan Integriti Dalam Tadbir Urus Perolehan Kerajaan Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Seminar, Kompleks SPRM Negeri Terenggganu.

 

Bengkel yang berlangsung selama dua hari bermula 7 November dihadiri seramai 60 peserta daripada pelbagai agensi di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu yang terlibat secara langsung di sektor perolehan dan kewangan jabatan.

 

Objektif bengkel ini adalah untuk mempertingkatkan pengetahuan antirasuah dan integriti pegawai dan kakitangan agensi terbabit. Bengkel ini diisi dengan dua sesi ceramah bertajuk "Perolehan dan Kewangan (Do’s & Don’ts)" disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Audit Negara dan ceramah “Menangani Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan“ disampaikan oleh KPKPs Mohd Hanafi bin Abd Rahim, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Terengganu.

 

Turut diadakan sesi pembentangan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) berkaitan isu-isu rasuah dalam perolehan oleh peserta-peserta dibantu oleh fasilitator yang terdiri daripada pegawai-pegawai SPRM Negeri Terengganu.

 

Bengkel ini diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaikan sijil yang disempurnakan perasmiannya oleh Encik Azizul bin Ab Hadi, Setiausaha Bahagian, Pengurusan Sumber Manusia, SUK Terengganu.

 

Turut hadir adalah KPKPj Hazrul Shazreen bin Abd Yazid, Pengarah SPRM Negeri Terengganu, PKPj Sofian bin Haroon, Timbalan Pengarah (Pencegahan), PPj Zainal bin Ayop, Timbalan Pengarah (Operasi), Puan Nor Nadia Zahira bt Zakaria, KPSU BPSM SUK, pegawai-pegawai BPSM SUK dan Pegawai-Pegawai SPRM Negeri Terengganu.


Hit : 1319