Berita Menarik

Sambutan Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Tahun 2023

PUTRAJAYA, 7 Nov - Pembudayaan dan amalan integriti yang kukuh dalam setiap organisasi perlu dilaksanakan secara total kerana kepincangan integriti akan membuka ruang kepada gejala rasuah ibarat barah yang perlu dicegah daripada terus merebak.

Pesanan ini disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Tahun 2023 yang dirasmikan Menterinya, YB Fahmi Fadzil di Auditorium KKD.

Tan Sri Dato' Sri Azam berkata, bagi mengelakkan ketirisan dana yang memberi kesan kepada negara, pengukuhan integriti perlu menjadi fokus penting dalam setiap organisasi di mana dengan mengurangkan ketirisan, ianya boleh membantu negara menjimatkan kos seterusnya dapat meningkatkan pendapatan negara. 

Tan Sri Dato' Sri Azam juga memuji dan menzahirkan penghargaan atas usaha KKD dalam membudayakan integriti melalui program-program anjuran KKD sempena Sambutan Hari Integriti KKD Tahun 2023 ini.

Sementara itu, YB Fahmi dalam ucapan perasmiannya turut menyatakan sokongan dan penghargaan atas usaha-usaha murni SPRM dalam membasmi gejala rasuah. 

“KKD akan sentiasa menyokong segala usaha dan jalinan kerjasama yang diperlukan bersama SPRM dalam menyampaikan serta menyalurkan mesej antirasuah kerana usaha ini bukan mudah sebaliknya ia perlu dilaksanakan secara bersama kerana ianya merupakan amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Terlebih dahulu, pada majlis ini juga, YB Fahmi telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) serta mengetuai sesi lafaz IBR yang turut disertai kira-kira 300 warganya dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM, TPj Nazli Rasyid Sulong.


Hit : 1078