Berita Terkini

FELCRA Berhad Berkolaborasi Bersama SPRM Sarawak Melaksanakan Program Antirasuah Dan Pemantapan Integriti Bagi Pengurusan Kanan FELCRA Wilayah Sarawak

KUCHING, 26 Sept – Telah berlangsung Program Antirasuah dan Pemantapan Integriti FELCRA Wilayah Sarawak sebagai langkah pencegahan memerangi budaya rasuah dalam sektor operasi di FELCRA. Program ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Pejabat SPRM Sarawak yang dihadiri kira-kira 38 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Unit, Pengurus Kawasan dan Pengurus FELCRA dari seluruh negeri Sarawak.

 

Program telah dimulakan dengan sesi lawatan oleh para peserta ke fasiliti Pejabat SPRM Sarawak. Usai sesi lawatan berkenaan, peserta dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama bagi Sesi Perkongsian Ilmu yang disampaikan PKPj Wan Ahmad Nidzam bin Wan Omar, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak.

 

Para peserta telah diberi penjelasan berkaitan kesalahan utama yang lazim berlaku di bawah Akta SPRM 2009 terutamanya menyentuh isu berkaitan perolehan dan kewangan memandangkan para peserta turut terlibat  secara langsung dalam urusan berkenaan di kawasan masing-masing. Selain itu, turut diterangkan dalam sesi ini kesalahan Liabiliti Korporat, Seksyen 17A ASPRM.

 

Selesai sesi perkongsian ilmu, program diteruskan dengan Sesi Dialog dan Bual Bicara peserta bersama YBhg. Datuk Mohd Zaki bin Hassan, Pengarah SPRM Sarawak yang menjawab pelbagai persoalan berkaitan isu rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

 

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh YBrs Encik Mohd Zaiful Anuar bin Zulkifli, Pengurus Besar FELCRA Wilayah Sarawak yang menzahirkan penghargaan kepada SPRM Sarawak kerana sudi berkolaborasi menjayakan program yang julung kali diadakan ini. Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus memberi sokongan penuh kepada SPRM dalam usaha pencegahan rasuah bagi memastikan FELCRA Berhad Wilayah Sarawak dapat memperkasakan tatakelola tadbir urus dan perolehan yang cemerlang.


Hit : 1430