Berita Terkini

SPRM Seru Agensi Penguatkuasaan Tutup Ruang, Halang Virus Rasuah Daripada Merebak

PUTRAJAYA, 20 Sept – Agensi penguatkuasaan perlu menutup ruang berlakunya rasuah bagi menghalang virus rasuah daripada merebak seterusnya meruntuhkan imej agensi dan negara.


Mesej ini ditekankan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Penutup Seminar Antirasuah dan Amalan Terbaik Agensi Penguatkuasaan Tahun 2023 yang diadakan di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM.


Beliau turut menambah, SPRM akan terus memberi tumpuan pada sektor Penguatkuasaan Undang-Undang di mana fokusnya membabitkan pembongkaran kes-kes siasatan bersindiket yang memberi kesan kepada aspek sosio-ekonomi seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, permit kerja, perlesenan, percukaian, Macau scam dan perjudian yang melibatkan pegawai serta anggota penguat kuasa yang menjaga pintu sempadan atau pintu masuk utama negara.


Seramai 130 Pegawai Kanan daripada 20 Agensi Penguatkuasa telah menghadiri seminar sehari dengan sesi perkongsian berkaitan isu-isu rasuah dalam Agensi Penguatkuasaan.


Hit : 1563