Berita Pendidikan

SPRM Hargai Usaha Jurulatih ILTP Papar Laksana KIAR TVET

PAPAR, 13 September - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan penghargaan kepada usaha jurulatih Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah atas usaha melaksanakan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Institut Latihan Teknik Dan Perdagangan (ILTP) di sini, hari ini.

 

Ia dizahirkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali semasa mengadakan lawatan kerja dan pemantauan di Kampus ILTP Papar.

 

"KIAR JPSM Negeri Sabah adalah program pertama dalam usaha menyebarluas mesej antirasuah kepada pelajar aliran TVET sejak diperkenalkan pada 9 Julai 2021. Ia juga menjadi penanda aras kepada usaha yang sama melibatkan institusi TVET lain di bawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KPLB)," ujar Datuk Seri Norazlan semasa mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Kursus KIAR bersama Pengarah JPSM Negeri Sabah, Dg. Norsiah Hj. Pg. Duraman.

 

"Saya menghargai usaha JPSM dan semua jurulatih ILTP Papar kerana komited mengajar KIAR. Maklumbalas daripada jurulatih dan pelajar seperti mana dibentangkan adalah sangat baik. SPRM mengambil maklum cadangan menambahbaik modul dan kaedah pengajaran agar subjek yang dikongsi boleh memberi nilai tambah bukan sahaja bagi tujuan akademik, malah sebagai asas kepada permulaan kerjaya atau menjalankan perniagaan kelak," tambahnya.

 

Tugas memerangi rasuah bukan hanya tugas SPRM semata-mata tetapi semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk memeranginya. Jika usaha ini dipergiat dan dilakukan secara bersama-sama, tidak mustahil kes rasuah akan berkurangan dan Malaysia boleh bebas dari rasuah.

 

Datuk Seri Norazlan turut dibawa melawat ke kelas KIAR yang sedang berlangsung dan berpeluang menyampaikan kata-kata semangat kepada 50 pelajar mengenai halatuju program dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kemajuan negara yang bersih dari rasuah.

 

Turut serta dalam lawatan adalah Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Sabah, PKPj Alexander S.Kunghi dan Ketua Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PKPj Mohd Nur Lokman Samingan.


Hit : 1884