Berita Pendidikan

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Seru Perkasakan Fungsi IGU Dalam Membanteras Rasuah Dalam GIC

KUALA LUMPUR, 4 Sept - Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali telah menyeru agar memperkasakan peranan Unit Integriti dan Governans (IGU) bagi menguruskan risiko-risiko rasuah dalam organisasi.

 

Perkongsian itu disampaikan beliau pada sesi pembentangan bertajuk “Fostering Governance and Integrity: Best Practices from Government Interest Companies” sempena Hari Integriti 2023 PROLINTAS yang dihadiri 200 peserta mewakili agensi-agensi 'Government Interest Companies' (GIC) di M Resort Hotel.

 

Datuk Seri Norazlan berkata, kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di sektor swasta telah meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini dan kerana itu, fungsi IGU hendaklah diperkasakan bagi membanteras jenayah berkenaan.

 

"Risiko terjadinya rasuah boleh berada pada mana-mana peringkat dalam organisasi, justeru pelbagai usaha seperti pendidikan pencegahan rasuah dan penyebaran maklumat tentang rasuah serta impaknya kepada organisasi perlu dipergiat dari semasa ke semasa.

 

“Jangan hanya berharap kepada SPRM untuk membanteras jenayah rasuah, sebaliknya usaha SPRM perlu disokong oleh semua pihak termasuk jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan individu," katanya.

 

Beliau berkata, jika usaha ini dipergiat dan dilakukan secara bersama-sama, tidak mustahil kes rasuah di negara ini akan berkurangan dan ketirisan dana dapat dielakkan.

 

Turut serta dalam sesi pembentangan ini adalah Ketua Pegawai Integriti PETRONAS, KPKPj Mohamad Zakkuan Talib; Naib Presiden, Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan Khazanah Nasional Berhad, Khairul Anuar Khalid dan Ketua Pematuhan Kumpulan SME Bank, Rosehamidi Kamaruddin.


Hit : 2124