Berita Pendidikan

IBR: Taklimat Kesan Penetapan Badan Awam Dan Pengurusan Dana Serta Tatakelola Tahun 2023 Bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kelantan

KOTA BHARU, 22 Ogos – SPRM berkolaborasi bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kelantan melalui pelaksanaan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

 

Satu sesi taklimat berkaitan Implikasi Pewartaan Penetapan Badan Awam terhadap LKIM dan Persatuan Nelayan dan Pengurusan Dana serta Tatakelola telah dianjurkan oleh pihak LKIM Negeri Kelantan.

 

Sesi taklimat ini dihadiri seramai 90 orang peserta yang terdiri daripada Puan Khuzaimah binti Husain,Pengarah LKIM Negeri Kelantan, pegawai-pegawai dan kakitangan LKIM Negeri Kelantan dan Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan seluruh Negeri Kelantan.

 

Taklimat disampaikan oleh PsK Wan Siti Junaida binti Ismail, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat, SPRM Negeri Kelantan berkaitan Pewartaan Penetapan Badan Awam terhadap LKIM yang telah dikuatkuasakan pada 22 Mei 2023, iaitu LKIM yang dibentuk dan didaftarkan menurut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971 [Akta 49] dan mana-mana Persatuan Nelayan yang ditubuhkan dan didaftarkan menurut Akta Persatuan Nelayan 1971 [Akta 44] ditetapkan sebagai badan awam bagi maksud Akta.

 

Taklimat ini juga turut menekankan peruntukan seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salahguna kuasa dan penyelewengan termasuk juga kesalahan di bawah seksyen 16, 17 dan 18 Akta SPRM 2009 serta seksyen 165 Kanun Keseksaan.

 

Puan Khuzaimah binti Husain menzahirkan komitmen untuk menjadikan LKIM Negeri Kelantan sebuah agensi yang bebas dari segala bentuk jenayah rasuah dan akan bersama-sama menyebar luas mesej antirasuah dalam segala aspek, terutamanya yang melibatkan dana awam yang merupakan hasil kerajaan.

 

KPKPj Rosli bin Husain, Pengarah SPRM Negeri Kelantan dalam ucapannya turut berharap agar lafaz IBR ini adalah sejajar dengan amanah yang digalas oleh seluruh warga LKIM Negeri Kelantan dan memberikan impak berterusan dalam usaha memerangi jenayah rasuah di peringkat LKIM dan Persatuan Nelayan Negeri Kelantan.

Hit : 1859