Berita Pendidikan

Pembudayaan Antirasuah Dan Amalan Tadbir Urus Terbaik Bersama Syarikat Freight

KLANG, 8 Ogos - SPRM telah menganjurkan Program Pembudayaan Antirasuah dan Tadbir Urus Terbaik Bersama Syarikat Freight Forwarders Malaysia sebagai usaha pendidikan berterusan mencegah ketirisan dalam kutipan hasil kerajaan dan membanteras jenayah rasuah dalam kalangan pengusaha industri logistik.

 

Program anjuran bersama SPRM dan FMFF ini telah dihadiri oleh Presiden FMFF, Encik Alvin Chua Seng Wah dan Ketua Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat, PKPj Mohd Hasraff bin Hashim dengan penyertaan seramai 40 orang pengusaha freight forwarders.

 

PKPj Mohd Hasraff dalam ucapannya berkata, pembaharuan dalam operasi harian yang bebas rasuah perlu bermula daripada keinginan kolektif di setiap peringkat. SPRM melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat selaku bahagian yang memberikan pendidikan pencegahan rasuah sentiasa bersedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak bagi mengadakan program-program anti rasuah.

 

Sementara itu, Pengerusi FMFF, Encik Alvin Chua Seng Wah berpendapat program seperti ini sangat wajar terus diadakan bagi meningkatkan kefahaman ramai pengusaha industri logistik tentang apa yang boleh dan tidak wajar dibuat dalam pemantapan operasi harian perniagaan sekaligus menguatkan lagi kerjasama strategik di antara badan kerajaan dan syarikat swasta demi membendung gejala rasuah daripada terus berleluasa.

 

Program ini membabitkan sesi penerangan dan sesi dialog mengenai kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan isu-isu rasuah yang berlaku melibatkan ketirisan pengusaha freight forwarders dan pihak-pihak di pelabuhan-pelabuhan Malaysia serta yang terlibat dalam rantaian freight forwarders ini.


Hit : 1721