Berita Terkini

Pengurusan Tatakelola Dana Berintegriti Penting Dalam Memajukan Industri Sukan Negara

BUKIT JALIL, 3 Ogos - Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki menekankan betapa pentingnya pengurusan tatakelola dana dalam setiap persatuan sukan bagi memastikan industri sukan di Malaysia dapat berkembang maju.

Beliau yang hadir pada Program Advokasi Antirasuah Bersama Badan Sukan Kebangsaan (Pengurusan Kewangan dan Tatakelola Dana) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diadakan di Majlis Sukan Negara menyeru agar pengurusan kewangan dan tatakelola dapat dikendalikan dengan penuh bertanggungjawab serta berintegriti.

"Jika pengurusan kewangan dan dana tidak dikendalikan dengan baik serta telus, prestasi termasuk kebolehan ahli-ahli sukan akan terjejas.

"Hal ini sekali gus akan merugikan negara dan mutu sukan negara kita akan menjadi tidak berkualiti," katanya.

Tan Sri Dato' Sri Azam turut menyeru agar sistem atau peraturan kewangan ditambah baik bagi memastikan ketirisan dana kerajaan dapat dielakkan secara total.

Pada majlis ini juga turut diadakan sesi lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Pengurusan Tertinggi Badan Sukan Kebangsaan yang diketuai oleh wakil daripada Majlis Olimpik Malaysia serta disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh yang turut merasmikan Program Advokasi Antirasuah ini.

YB Hannah Yeoh dalam ucapan perasmian beliau turut berterima kasih atas usaha padu yang dijalankan oleh SPRM dalam mencegah rasuah.

Beliau turut menggesa semua pegawai sukan supaya mengamalkan budaya kerja yang berintegriti dan menjauhi sebarang elemen rasuah dalam pengurusan dana serta kewangan.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Puan Ramona Mohd Razali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Tuan Haji Abdullah Hasan.


Hit : 1579