Berita Menarik

SPRM seru organisasi bertanggungjawab dalam membasmi rasuah

BANGI, 2 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru agar setiap organisasi mengambil peranan serta tanggungjawab dalam membasmi rasuah secara total.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali yang bertindak sebagai panel dalam sesi yang bertajuk "Combatting Corruption Risk" pada ARiMM Risk Management Conference & C-Suite Forum 2023 yang diadakan di Bangi Resort Hotel berkata usaha membasmi rasuah adalah tanggungjawab setiap ketua dalam organisasi tersebut.

 

"Semua ketua jabatan di sektor kerajaan atau swasta perlu menggalas tanggungjawab masing-masing dalam membasmi atau menangani jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa".

 

"Peranan ini perlu dilaksanakan secara kolektif dan SPRM akan sentiasa membantu sekiranya organisasi ini memerlukan khidmat nasihat atau kerjasama," katanya.

 

Menurut beliau lagi, usaha-usaha yang dilakukan oleh SPRM juga memerlukan sokongan setiap pihak dan usaha pencegahan rasuah ini boleh bermula di mana-mana sahaja.

 

Sesi perbincangan pada forum ini turut disertai oleh Pengerusi Gamuda Berhad, Tan Sri Dato' Setia Haji Ambrin Buang; Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan dan Tuan Philip S.Rao sebagai moderator.


Hit : 1677