Berita Menarik

IBR: Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Komited Perangi Rasuah

KOTA BHARU , 23 Julai –  Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyahut seruan SPRM Negeri Kelantan dengan mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Ceramah Anti Rasuah bertempat di Dewan PKINK, Kota Bharu dihadiri seramai 140 orang warga PKINK secara bersemuka.

Majlis dimulakan dengan ceramah bertajuk "Kesalahan-kesalahan Rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan Liabiliti Korporat, Seksyen 17A" yang disampaikan oleh PKPs Jefrimazuan bin Hasnan, Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat, SPRM Negeri Kelantan.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Tuan Haji Ab Aziz bin Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK yang menyatakan bahawa Majlis IBR ini merupakan hasrat  seluruh warga PKINK sebagai sebuah agensi yang bebas dari segala bentuk jenayah rasuah dan membenci perbuatan rasuah. Lafaz IBR juga membuktikan bahawa PKINK adalah agensi yang beroperasi dengan tadbir urusnya yang cemerlang dan berintegriti dalam melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan.

KPKPj Rosli bin Husain, Pengarah SPRM Negeri Kelantan turut menyampaikan ucapan amanat kepada semua warga PKINK yang hadir di mana beliau menyatakan ini  merupakan suatu petanda sangat positif kerana ianya memaparkan komitmen, kesedaran serta iltizam semua warga untuk memastikan negeri Kelantan khususnya, bersih dan bebas daripada jenayah rasuah. Pengharapan SPRM agar program IBR ini bukan bersifat “one-off” atau kosmetik semata-mata. Tetapi, perlu disusuli dan diperkasakan dengan  pelbagai tindakan oleh pengurusan tertinggi PKINK bagi meningkatkan integriti warga PKINK. 

Warga PKINK telah menzahirkan Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai bukti akujanji dalam menjauhi kegiatan jenayah rasuah. SPRM akan terus komited dan konsisten untuk membantu PKINK dalam usaha meningkatkan integriti dan menyemai budaya membenci rasuah merangkumi seluruh warga PKINK dalam memerangi jenayah rasuah secara kekal dan berterusan.

Turut hadir Encik Hishamuddin bin Hussien, Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan Hal Ehwal Korporat (HEK), Pengurus-pengurus Kanan Kumpulan, Pengurus-pengurus Kumpulan, Pengurus-pengurus Besar Syarikat Anak Kumpulan PKINK.


Hit : 2096