Berita Terkini

Kolaborasi Bersama Antara SPRM Sarawak Dan LHDNM Sarawak Dalam Program Bicara Dan Dialog Anti Rasuah

KUCHING, 20 Julai – Telah berlangsung Program Bicara dan Dialog Anti Rasuah bersama SPRM Negeri Sarawak dan Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Sarawak bertempat di Dewan Hasil Aras 4, Menara Hasil Kuching, Sarawak dihadiri kira-kira 100 orang warganya.

Program ini mendapat sokongan padu daripada Pengurusan Kanan LHDNM dalam usaha memantapkan lagi nilai-nilai integriti dan akauntabiliti dalam kalangan warganya ke arah satu dimensi yang lebih efisien dan efektif sebagai agensi pemungut dan pentadbir cukai langsung di Malaysia.

Antara objektif utama program ini adalah untuk memantapkan kesedaran tindakan penguatkuasaan menerusi perkongsian ilmu pengetahuan dan kefahaman yang jelas dalam amalan peraturan dan tatacara yang betul.

Program dimulakan dengan sesi Perkongsian Ilmu bertajuk “Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa” yang disampaikan oleh PPj Mardiana binti Han, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat, SPRM Negeri  Sarawak.

Dalam ucapan KPKPj Hasbilah bin Mohamad Salleh, Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Negeri Sarawak, menekankan betapa pentingnya kerjasama strategik dalam usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melalui keterlibatan agensi dalam mengukuhkan sahsiah jati diri.  

Manakala Tuan Vijayen Nagalinghem, Pengarah Negeri LHDNM Sarawak pula menegaskan usaha ke arah meningkatkan lagi kredibiliti penguatkuasaan undang-undang, penstrukturan semula sistem perolehan serta memperkukuhkan  kecekapan governans dan kualiti perkhidmatan LHDNM mampu mengelakkan berlakunya ketirisan cukai negara. Beliau juga turut menyampaikan hasrat untuk meneruskan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi melalui program serupa ke Bahagian Bintulu dan Miri.

Kemuncak program ini adalah Sesi Dialog yang berkonsepkan Talk Show “Bring The Next Level: Shaping A Corruption-Free Future” dan Dialog “Kitak Tanyak, Kamek Jawab” bersama KPKPj Hasbilah bin Mohamad Salleh, Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Negeri Sarawak. Sesi ini mendapat sambutan hangat daripada para peserta dengan mengutarakan pelbagai soalan berkaitan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan pencegahan rasuah.


Hit : 1489