Berita Pendidikan

SPRM Dekati Komuniti Nelayan Negeri Perak Ke Arah Mencegah Ketirisan Dana Pengurusan Skim Subsidi Diesel Dan Petrol Nelayan

IPOH, 9 Julai – SPRM dengan kerjasama strategik Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menganjurkan Program Antirasuah Komuniti Nelayan Bersama SPRM (Pengurusan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan) di Dewan Perdana, Hotel Seri Malaysia, Ipoh, Perak.

 

Program dua hari bermula pada 7 Julai, telah dihadiri oleh 50 orang dari kalangan lembaga pengarah persatuan nelayan komuniti nelayan dari 7 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Negeri Perak iaitu PNK Kerian, PNK Matang, PNK Sg. Tinggi, PNK Manjung Utara, PNK Manjung Selatan, PNK Pulau Pangkor, dan PNK Hilir Perak.

 

Program ini bertujuan untuk memberi kefahaman dan pengetahuan berkaitan kesalahan-kesalahan rasuah dan salahguna kuasa di kalangan ahli dalam Persatuan Nelayan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pengoperasian skim dana bantuan kerajaan subsidi diesel dan petrol.

 

Program hari pertama telah dimulakan dengan sesi penyampaian ceramah oleh Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik (CSBP), Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), SPRM, PKPj Ramli Hassan yang bertajuk “Isu-Isu Rasuah dan Ketirisan Subsidi Dalam Komuniti Nelayan”. Program hari kedua pula dimulakan dengan sesi perkongsian taklimat yang bertajuk “Pengurusan Pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan” yang telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan, LKIM, Norfajarwati Baharudin (LKIM).

 

Program diteruskan dengan sesi dialog yang bertajuk “Pengurusan Peruntukan Dana dan Subsidi Komuniti Nelayan Yang Telus dan Bebas Rasuah” oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), LKIM, Hamdan Mamat dan Timbalan Pengarah, Bahagian PenMas SPRM iaitu KPKPj Ab Muneim Ibrahim sebagai ahli panel. Kemuncak program diakhiri dengan majlis perasmian penutup yang telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian PenMas, SPRM, Datuk Razim Mohd Noor.

 

Hadir sama adalah Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK), Mansor Yusoff dan Timbalan Pengarah Operasi, SPRM Negeri Perak, KPKPj Mustafa Kamal Ahmad.



Hit : 1733