Berita Terkini

SPRM Cegah Ketirisan Dalam Pengurusan Dana Persatuan Dengan Majlis Belia Malaysia

JOHOR BAHRU, 17 Jun — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan Program Antirasuah Bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Belia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 sebagai usaha memberi pendedahan mencegah ketirisan dalam pengurusan dana dan salah laku dalam persatuan belia. Inisiatif ini susulan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 28 Mei 2023 sempena Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023 berhubung peruntukan RM5 juta setahun yang disalurkan kepada MBM bagi memperkasakan golongan muda untuk memacu negara.

 

Program anjuran bersama MBM dan MBM Negeri Johor ini telah dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dalam majlis diadakan di SPRM Negeri Johor, di sini, hari ini. Datuk Seri Norazlan dalam ucapan perasmian penutupan berkata peruntukan dana awam merupakan suatu amanah yang harus dilunaskan bukan sahaja dengan mengikut peraturan-peraturan kewangan dan perakaunan tetapi haruslah menepati objektif tujuan dana tersebut diberikan.

 

"Beberapa kes yang disiasat SPRM mendedahkan berlakunya penyelewengan dan perlakuan rasuah dalam pengurusan dana-dana awam ini perlu diberi perhatian. "Program ini diharapkan dapat memberi kefahaman mengenai kesalahan-kesa]ahan rasuah dan pengetahuan berkaitan tata kelola pengurusan dana persatuan yang baik bagi mengelakkan berlakunya insiden rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta membantu dalam menyebar luas pelaksanaan inisiatif-inisiatif antirasuah kepada ahli persatuan serta masyarakat setempat tambahnya lagi.

 

Sementara itu, Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata MBM komited membanteras rasuah dan akan bekerjasama dengan SPRM untuk melantik ikon antirasuah di peringkat belia di seluruh peringkat kebangsaan, negeri dan daerah sebagai medium penyampai bagi memberi pendedahan kepada belia mengenai bahaya rasuah dan kepentingan membanteras jenayah rasuah.

 

Program sehari ini diisi dengan sesi penerangan dan dialog mengenai kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009, inisiatif-inisiatif antirasuah yang telah diperkenalkan oleh SPRM, isu-isu rasuah yang berlaku melibatkan dana persatuan dan kesan sekiranya pengurusan dana diseleweng atau tidak diuruskan dengan sempurna.

 

Peserta program seramai 100 ahli persatuan belia di bawah MBM Negeri Johor ini juga telah dibawa melawat di sekitar fasiliti pejabat SPRM Negeri Johor. Turut hadir Pengarah SPRM Negeri Johor, Dato' Haji Azmi Haji Alias dan Pengerusi MBM Negeri Johor merangkap ADUN Tanjung Surat, YB Aznan Tamin.

Hit : 1424