Berita IBR

SPRM Bantu Syarikat HSS Engineers Berhad Memerangi Rasuah Dalam Perniagaan

CHERAS, 31 Mei – HSS Engineers Berhad bersama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha memerangi budaya rasuah dan penyelewengan menerusi aktiviti dan inisiatif pencegahan rasuah.

 

Sejajar dengan komitmen ini, Program Antirasuah telah dilaksanakan di Eiffel Room, HSS Engineers Berhad untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada pengurusan atasan dan warga kerja HSS tentang kepentingan budaya antirasuah dalam tadbir urus.

 

Komitmen HSS diperkukuh dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam, Naib Pengerusi Eksekutif merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan disertai 170 orang terdiri daripada pengurusan atasan dan kakitangan syarikat, secara bersemuka dan di dalam talian.

 

Tan Sri Ir. Kuna dalam ucapannya berkata, IBR yang dilafaz perlu dilaksanakan dengan penuh keazaman untuk menjauhi dan membenci budaya rasuah, dan memastikan HSS bebas dari sebarang salah laku rasuah.

 

Lafaz IBR tersebut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Outreach, Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, KPKPj Ab. Muneim Ibrahim. Turut hadir, PKPj Hasraff bin Hashim, Ketua Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan SPRM.

 

Terdahulu, satu taklimat berkenaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Korporat dan Liabiliti) serta isu-isu semasa berkaitan perolehan, penguatkuasaan dan risiko grand corruption tanpa pembudayaan antirasuah oleh entiti perniagaan telah disampaikan oleh Tuan Jayantha Kumar.


Hit : 1521