Berita Terkini

KP SPRM dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor (BoG) IACA

PUTRAJAYA, 28 Okt. - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki secara rasminya dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor (BoG), International Anti-Corruption Academy (IACA) berkuatkuasa pada 27 Oktober bagi tempoh 2021-2024.

 

IACA merupakan institusi latihan anti rasuah antarabangsa yang berpangkalan di Vienna, Austria. Mekanisme tadbir urus IACA terbahagi kepada lima komponen, iaitu Dekan, Lembaga Gabenor, Lembaga Penasihat Kanan Antarabangsa, Lembaga Penasihat Akademik Antarabangsa dan Perhimpunan Anggota [Assembly of Parties (AoP)].

 

AoP diadakan pada setiap tahun dan pada tahun ini AoP kali ke-10 telah diadakan pada 7 Oktober 2021. Di antara agenda yang dibincangkan adalah pemilihan ahli BoG. 

 

Oleh kerana beberapa isu teknikal dan pentadbiran, pemilihan ahli BoG ini telah ditangguhkan ke satu sesi mesyuarat khas 'Resumed 10th session of the AoPs' yang telah diadakan pada 27 Oktober 2021 di Vienna International Centre, Vienna. 

 

Malaysia telah diwakili oleh YBhg. Datuk Seri Mohd Sallehhuddin bin Hassan, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti rasuah Nasional (GIACC) dan Tuan Mohd Yunus Ibrahim dari Pejabat Perwakilan Malaysia (MALAWAKIL) Vienna, Wisma Putra.

 

Pemilihan dan pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan dan penghargaan tertinggi bagi SPRM dan Malaysia di mana ia mampu memberi manfaat melalui perkongsian dan pertukaran kepakaran di peringkat antarabangsa dalam aspek pencegahan rasuah.

 

Selain itu, pelantikan ini adalah kesinambungan daripada pengiktirafan yang telah diterima oleh mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang juga pernah menyandang jawatan yang sama.


Hit : 2303