Berita Terkini

Kerjasama SPRM dan Media Perlu Seiring Dalam Sebarluas mesej antirasuah

PUTRAJAYA, 29 Sept. – Kerjasama, kefahaman serta hala tuju antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak media perlu seiring dalam menyebarluas mesej antirasuah kepada masyarakat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihak media perlu mengekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini serta terus mendukung usaha SPRM dalam mencegah rasuah demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Isu-isu rasuah perlu dilaporkan dengan penuh tanggungjawab untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah kepada negara.

“Setiap peranan SPRM juga perlu diperjelaskan kepada umum secara berterusan agar tahap keyakinan masyarakat terhadap peranan SPRM semakin meningkat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Anugerah Media 2020 yang berlangsung secara maya di sini, hari ini.

Anugerah ini merupakan penganjuran julung-julung kali diadakan oleh SPRM yang bertujuan bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan media cetak dan media elektronik berkaitan dengan isu rasuah.

Dalam majlis tersebut, sebanyak dua kategori telah dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak dan Anugerah Media Elektronik. Pemenang dipilih berdasarkan penyediaan laporan berita terbaik berkaitan antirasuah serta disiarkan di platform media masing-masing bermula 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020.

Sementara itu, turut diadakan Majlis Pelancaran Buku 'Tinta SPRM 2020' dan Buku 'Kompilasi Edaran & Lensa SPRM 2020'. Sesi penyerahan buku-buku tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah BKS SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin dengan simbolik penyerahan kepada Datuk Seri Azam Baki.

Kedua-dua buku ini merupakan inisiatif Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dalam usaha menyimpan artikel dan penulisan aktiviti sepanjang tahun 2020 dalam bentuk arkib bercetak untuk rujukan warga SPRM.

Hit : 2096