Berita Terkini

Sultan Selangor Perkenan Terima Menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM

Shah Alam, 5 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Datuk Seri Azam menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kerana memperkenankan permohonannya untuk menghadap bagi membentang serta memberikan taklimat mengenai kedudukan kes-kes rasuah di Negeri Selangor.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Dalam pertemuan dua jam ini, Baginda telah menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu kes-kes rasuah dan berharap agar SPRM dapat melakukan siasatan dengan telus serta teliti, supaya pelaku rasuah yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

Ini berikutan kenyataan media bertarikh 28 Julai 2021 oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di Negeri Selangor terbabit dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan negeri ini.

SPRM menjunjung kasih atas titah Tuanku Sultan dan memberi jaminan akan meningkatkan usaha-usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta memperkasakan integriti dalam kalangan rakyat Negeri Selangor.


Hit : 1628