Berita Terkini

Pendekatan Agama Benteng Kemungkaran Rasuah

PUTRAJAYA, 8 April - Penganjuran Forum Integriti Lestari Hisbah Agamawan (ILHAM) yang julung kalinya diadakan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menambah pengetahuan dan meningkatkan kesedaran tentang agama Islam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, program ini dapat menyebarluas mesej antirasuah dalam konteks hubungan antara insan melalui penglibatan pelbagai agensi agama dan badan bukan kerajaan secara berterusan.

"Saya percaya pendekatan Islam lebih berkesan dan dekat dengan jiwa khususnya dalam kalangan umat Islam. Setiap yang diperkatakan oleh golongan agamawan selalunya menjadi ikutan dan terkesan dalam jiwa pendengarnya.
"Oleh itu, pendekatan agama merupakan keperluan yang penting sebagai benteng dalam perlakuan rasuah. Dengan usaha seperti ini, SPRM berharap golongan agamawan dapat memberi nafas baharu dalam menyampaikan mesej untuk membenci rasuah kepada sasaran golongan tersebut," ujar beliau.
Sementara itu, Datuk Seri Azam menyeru supaya kita bersama-sama menyematkan tekad juang menjadi manusia yang ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran di muka bumi Allah kerana itulah antara kewajipan kita sebagai hamba-Nya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Forum ILHAM di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor; Pengerusi Persatuan Ulamak Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan PUMWP Datuk Hj. Mohamad Hj. Abdullah serta Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Ishak Hj. Sulaiman.


Hit : 1555