Berita Terkini

APMM Kunjungi SPRM

PUTRAJAYA, 22 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.


Delegasi yang diketuai Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som itu telah disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.


Semasa kunjungan tersebut, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil meluangkan masa kira-kira sejam membincangkan pelbagai isu terutamanya berkaitan isu pencegahan rasuah dan salah guna kuasa.


Datuk Seri Azam turut  menyatakan kesediaan SPRM untuk terus bekerjasama dengan APMM dalam berkongsi kepakaran dalam sektor operasi serta kesudian membantu agensi penguatkuasaan tersebut dalam membentuk satu koordinasi penyiasatan yang utuh dalam mengekang jenayah rasuah dari terus berlaku.


Di samping itu, pertemuan ini juga merupakan ruang dan peluang kedua-dua organisasi bagi menyebar luas amalan baik dan ruang kerjasama dalam mencegah rasuah secara konsistan dan holistik.


Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan; Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; serta Timbalan Pengarah Siasatan SPRM, TPj Datuk Izani Wan Ishak dan Timbalan Pengarah  Perisikan SPRM (Kawalan Zon), KPKPj Galan Ngadit yang mewakili Pengarah masing-masing.


Hit : 2511