Berita Terkini

Budaya kerja cemerlang tingkatkan kualiti dan produktiviti SPRM

PUTRAJAYA, 31 Mac - Budaya kerja warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cemerlang dan berintegriti menjadi asas kepada peningkatan kualiti serta produktiviti suruhanjaya ini sekali gus menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi yang unggul dan berprestasi tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kejayaan yang dicapai SPRM pada masa kini adalah hasil perkhidmatan cemerlang dan berkualiti oleh semua warga kerja dari setiap peringkat pengurusan.

“Warga kerja SPRM perlu mengekalkan serta memperkasakan keharmonian tanpa memberi ruang kepada perbezaan fahaman politik, pegangan agama, kepelbagaian bangsa, semangat kenegerian atau budaya berpuak-puak yang boleh menggugat perpaduan atau esprit-de-corps.

“Di samping itu, Pengarah Bahagian dan Pengarah SPRM Negeri juga perlu memainkan peranan penting dalam memberi inspirasi serta bimbingan kepada pegawai dan kakitangan supaya mereka dapat mengekalkan kecemerlangan dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan (MAAK) SPRM Tahun 2020 yang berlangsung di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 126 pegawai dan kakitangan dari Ibu Pejabat SPRM telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2020.

Turut diraikan dalam majlis yang sama ialah dua penerima Anugerah Khas dan 50 penerima Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya (AKPJ) yang berjaya melaksanakan program, aktiviti dan projek berimpak tinggi serta positif sepanjang tahun 2020.

Sementara itu, Datuk Seri Azam juga meminta warga SPRM supaya menjadikan Pelan Anti-Rasuah SPRM (PARAS) serta buku Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM sebagai panduan untuk memperkukuhkan nilai jati diri untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan jenayah rasuah serta pelanggaran integriti.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi.


Hit : 2252