Berita Terkini

Perasmian Program Jelajah Antirasuah JBPM-SPRM Berlangsung Secara Maya

PUTRAJAYA, 19 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengadakan program Jelajah Antirasuah JPBM-SPRM dengan pendekatan secara perkongsian bestari bagi menyokong usaha memerangi rasuah di negara ini.

Ia antara langkah diambil agensi itu dan SPRM bagi menyemarakkan budaya integriti dalam kalangan warga JBPM. Antara aktiviti yang di cadangkan bagi Program Jelajah Antirasuah JPBM-SPRM ialah konvoi motosikal berkuasa tinggi SPRM dan JBPM untuk menjelajah ke balai bomba di seluruh negara bagi menyebarluas mesej pencegahan rasuah secara berterusan, melaksanakan program-program pemerkasaan integriti serta pendidikan antirasuah secara perkongsian strategik antara kedua-dua jabatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd. Jamil dalam ucapan yang diadakan secara maya di pejabatnya pada hari ini berkata, rasuah merupakan masalah utama yang menjatuhkan kredibiliti penjawat awam.

"Soal selidik semasa Hari Antirasuah Antarabangsa 2018 agak memeranjatkan apabila 418 daripada 3,810 responden penjawat awam atau 11% mengaku akan melakukan rasuah sekiranya mereka mempunyai kuasa dan peluang."

"Sikap begini amat membimbangkan dan lebih menyedihkan apabila penjawat awam adalah kumpulan yang paling ramai ditangkap kerana gejala itu. Saban tahun, hampir separuh daripada tangkapan keseluruhan yang dilakukan SPRM adalah melibatkan penjawat awam," katanya.

Di samping itu, beliau juga berharap program ini berjaya membentuk warga JBPM ke arah berintegriti tinggi dan SPRM amat komited untuk memberi bantuan dan sumbangan bagi turut sama menjayakannya.

Program ini dirasmikan secara maya oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Sri Mohammad Hamdan Hj. Wahid di JBPM Putrajaya peringkat Ibu Pejabat JBPM serta akan diteruskan di setiap JBPM Negeri.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor.