Aktiviti Pendidikan Antirasuah

Usaha pencegahan rasuah tidak terbatas kepada membawa pesalah ke muka pengadilan dan menutup sebarang peluang ke arah ketirisan. Usaha ini mencakupi perkembangan moral dan penetapan minda, dengan menyemai pemahaman serta budaya antirasuah dalam kalangan masyarakat, agar timbul rasa malu dan rasa harga diri ketika berada dalam situasi yang meragukan.

Menerusi perkembangan moral dan penetapan minda yang berkesan, masyarakat akan lebih cenderung untuk bersaing secara adil, menolak rasuah, serta mudah bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan. Oleh yang demikian, sokongan masyarakat adalah asas kepada kejayaan dalam memerangi rasuah.

Bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap usaha ini, SPRM telah menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan secara bersemuka seperti berikut :

  1. Konvensyen/Forum

    Konvensyen atau forum menghimpunkan pakar-pakar terkemuka pelbagai jurusan dari dalam dan luar negara untuk berkongsi maklumat terkini mengenai kemajuan dan cabaran sesebuah industri atau negara dalam usaha memerangi rasuah.

  2. Diskusi Meja Bulat

    Dalam usaha mendekati kumpulan sasar dan masyarakat secara amnya, SPRM akan mengadakan perbincangan bersama agensi awam dan swasta, wakil-wakil pertubuhan, persatuan masyarakat dan pemain industri untuk membincangkan kerjasama rentas agensi dan masyarakat dalam aspek pendidikan, pembudayaan dan pencegahan antirasuah.

  3. Bengkel/Seminar

    SPRM turut menganjurkan bengkel dan seminar bersama agensi awam dan swasta serta persatuan / pertubuhan sosial dan masyarakat untuk mengenalpasti isu-isu rasuah dan kelemahan tadbir urus yang wujud atau mungkin wujud dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti pengurusan, pentadbiran mahupun perolehan.

    Bengkel dan seminar yang dianjurkan tidak hanya sekadar mendidik, malah memberikan kesedaran kepada pemegang taruh mengenai risiko-risiko ketirisan serta inisiatif yang telah dijalankan oleh SPRM bagi memastikan salah laku rasuah dan ketirisan dapat dielakkan oleh organisasi dan individu.

  4. Pameran

    Pameran merupakan salah satu aktiviti pendidikan antirasuah yang dijalankan oleh SPRM. Dengan fokus utama penyampaian maklumat antirasuah secara berterusan kepada setiap lapisan masyarakat, pameran juga merupakan salah satu platform penyebaran maklumat mengenai fungsi bidang tugas SPRM, kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, cara melapor dan isu-isu semasa berkaitan kesalahan rasuah.

  5. Ceramah/Taklimat

    Ceramah dan taklimat merupakan satu medium yang digunakan oleh SPRM untuk menyebarluas mesej antirasuah, di samping memberi kefahaman mengenai bentuk-bentuk kesalahan rasuah, kesalahan buruk jenayah rasuah serta langkah-langkah pencegahannya; dan memberi kesedaran kepada segenap lapis masyarakat berkenaan tanggungjawab mereka untuk melaporkan rasuah serta membudayakan integriti dalam segala urusan.Program ceramah dan taklimat disesuaikan kepada kumpulan sasar seperti berikut:

    Sukatan Ceramah Kepada Agensi Awam

    • Empat Kesalahan Utama Rasuah Di Bawah Akta 694 ASPRM 2009 (Seksyen 16, 17, 18, 23)
    • Antirasuah dalam PerolehanSeksyen 25 Kewajipan Melaporkan Kesalahan Rasuah
    • Liabiliti Korporat Seksyen 17A
    • Tadbir Urus dan Pengurusan Dana Awam dan Dana Kerajaan
    • Program Transformasi Minda bagi agensi-agensi Kerajaan

    Sukatan Ceramah Kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Swasta

    • Empat Kesalahan Utama Rasuah Di Bawah Akta 694 ASPRM 2009 (Seksyen 16, 17, 18, 23)
    • Antirasuah dalam Perolehan
    • Seksyen 25 Kewajipan Melaporkan Kesalahan Rasuah
    • Liabiliti Korporat Seksyen 17A
    • Tadbir Urus dan Pengurusan Dana Awam dan Dana Kerajaan

    Sukatan Ceramah Kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Politik

    • Empat Kesalahan Utama Rasuah Di Bawah Akta 694 ASPRM 2009 (Seksyen 16, 17, 18, 23)
    • Antirasuah dalam Perolehan
    • Seksyen 25 Kewajipan Melaporkan Kesalahan Rasuah
    • Liabiliti Korporat Seksyen 17A
    • Tadbir Urus dan Pengurusan Dana Awam
  6. Permohonan ceramah / taklimat boleh dibuat secara bertulis atau atas talian. Bagi permohonan secara atas talian, boleh dibuat melalui portal SPRM dan aplikasi MACC Outreach.

  7. Program Turun Padang/ Lawatan

    Pendekatan turun padang atau ‘walkabout’ diadakan supaya pegawai SPRM dapat mendekati masyarakat pelbagai golongan dalam usaha mendidik dan mendapatkan sokongan mereka memerangi rasuah. Pegawai-pegawai SPRM menyantuni masyarakat setempat secara santai dan pada masa yang sama menyampaikan mesej antirasuah. Masyarakat setempat juga berpeluang memberi pandangan, meminta nasihat dan berbincang dengan pegawai SPRM berhubung isu rasuah.

    Dalam masa yang sama, SPRM turut menerima lawatan daripada sektor awam dan swasta, pertubuhan awam dan para pelajar bagi melihat secara lebih dekat fasiliti di SPRM di samping mendapat informasi yang tepat berkaitan peranan dan fungsi SPRM.

Hit : 3300