JKDM, MITI, PUSPAKOM DAN JPJ KOMITED UNTUK MELAKSANAKAN 10 SYOR SPRM DALAM MENCEGAH KETIRISAN DUTI IMPORT KENDERAAN [ 26 Jun 2023 ]

PUTRAJAYA, 22 Jun 2023 – SPRM telah mengemukakan sebanyak sepuluh (10) cadangan penambahbaikan bagi menutup ruang dan peluang rasuah serta meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan berhubung Pengurusan Taksiran Duti Bagi Kenderaan Import dan Proses Import Kenderaan Baru / Terpakai. Sesi Khidmat Nasihat berkenaan telah diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya melibatkan empat (4) agensi iaitu JKDM, MITI, Puspakom dan JPJ. SPRM telah diwakili oleh Yang Berbahagia Datuk Izani bin Wan Ishak.

 Antara cadangan penambahbaikan yang signifikan yang telah dipersetujui adalah:

  1. Perkongsian maklumat antara JKDM, MITI, Puspakom dan JPJ melalui Sistem Integriti yang melibatkan maklumat kenderaan import iaitu sistem SMK, IVIC, CAVIS dan ePermit;
  2. Pembangunan sistem penilaian kenderaan berdasarkan Warta Kenderaan Persekutuan secara atas talian bagi pelaksanaan pengiraan duti yang lebih tepat dan efisyen;
  3. Menambahbaik SOP mengenai Tatacara Penilaian Kenderaan Motor Pasang Siap (Terpakai) yang Diimport oleh Pemegang AP (JD Terbuka);
  4. Memastikan Puspakom dan JPJ melaporkan pemalsuan dan penipuan oleh Pengimport Kenderaan kepada MITI untuk tindakan punitif; dan
  5. Memastikan pemeriksaan fizikal kenderaan turut dilaksanakan oleh Puspakom di KLIA (Kargo).

 Ke semua syor ini disambut baik oleh keempat-empat agensi berkenaan. SPRM berharap syor penambahbaikan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sekaligus dapat meningkatkan mutu perkhidmatan JKDM, MITI, Puspakom Sdn Bhd dan Jabatan Pengangkutan Jalan.serta dapat meningkatkan hasil kerajaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) Tuan Nasaruddin Bin Abdul Muttalib, Pengarah Lesen Import (AP) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tuan Ahmad Azrai Abd. Mubin, Ketua Operasi Puspakom Sdn Bhd Ts. Dr. Ahmad Zahiri Ismail, Ketua Seksyen Operasi, Bahagian Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan Tuan Ong See Tang, Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan 2 KPKPj Sudirman bin Aban, Timbalan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan 3 KPKPj Zuridah binti Mamat, Ketua Unit Integriti JKDM KPKPj Mohamad Tarmize bin Abdul Manaf, dan pegawai-pegawai JKDM dan pegawai-pegawai Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, SPRM.


Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |