Kenyataan Media

RM19.97 Juta Wang Sitaan Ops JANS Dilucuthakan, Serah Kepada Kerajaan Malaysia

Pada 4 Oktober 2016 yang lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan satu operasi yang melibatkan penyelewengan dana oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Pada fasa pertama operasi yang dilancarkan itu, pasukan penyiasat telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM53 juta daripada dua suspek yang ditahan.

Sementara itu, pada fasa kedua pada Januari 2017 lalu, SPRM turut menahan seramai 35 Ketua Bahagian dan Daerah JANS bagi membantu siasatan penyelewengan dana infrastruktur jabatan tersebut.

Susulan operasi fasa kedua itu, SPRM telah membuka 10 kertas siasatan dan telah menfailkan pelucuthakan wang rasuah yang disita berjumlah kira-kira RM21.78 juta di bawah Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 kepada Mahkamah Kota Kinabalu.

Semalam, pada 7 Disember 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Nurcahaya Arshad telah mengeluarkan keputusan untuk melucuthakan sejumlah RM19.97 juta wang tunai daripada jumlah keseluruhan wang dan akaun bank yang disita tersebut dan diserah kepada Kerajaan Malaysia.

Manakala keputusan untuk melucuthakan baki wang yang disita berjumlah RM1.8 juta telah ditetapkan perbicaraannya pada 13 Disember 2017.

Dalam prosiding tersebut, SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, Mohd Farez Rahman dan Rozanna Abdul Hadi. ‘Ops JANS' ini telah berjaya membongkar satu kegiatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan hampir kesemua pegawai di jabatan tersebut dengan rampasan wang tunai terbesar di negara ini sejak penubuhan agensi pencegahan rasuah ini.

Kejadian ini perlu dijadikan satu iktibar oleh semua pihak untuk memastikan kejadian penyelewengan sebegini tidak berulang dan berlaku di mana-mana agensi lain.

SPRM memandang serius perkara sebegini yang boleh membantutkan pembangunan negara sekali gus menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan serta menyebabkan rakyat sengsara akibat penyelewengan peruntukan yang disediakan tidak sampai kepada mereka.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
8 DISEMBER 2017

RM19.97 Juta Wang Sitaan Ops JANS Dilucuthakan, Serah Kepada Kerajaan Malaysia

Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |