Kenyataan Media

SPRM Berjaya Peroleh Semula Lebih RM23 Juta Hasil Pemulihan Aset 1MDB Bagi Tempoh 2023 dan Februari 2024

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memaklumkan perkembangan terbaharu hasil daripada pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara yang giat dijalankan secara berterusan, Suruhanjaya ini telah berjaya memperoleh semula wang termasuk aset yang berjumlah RM23,911,460.90.

Wang dan aset ini telah berjaya diperoleh menerusi proses lucuthak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia.

Kejayaan memperoleh semula wang ini adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada tahun 2023 dan terbaharu pada 5 Februari 2024.

Untuk makluman, wang berjumlah RM556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB, yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, di mana individu ini mempunyai kepentingan.

Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023.

Pada 29 September 2023, wang berjumlah USD972,251.25 atau bersamaan RM4,551,399.45 telah berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Datuk Amhari Effendi iaitu Pegawai Khas kepada Dato’ Sri Najib Razak, menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Sementara itu, pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur telah memberikan perintah melucuthak tiga (3) unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan Yahaya, Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri Dato' Seri Najib Razak.

Individu ini telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana dirinya mempunyai kepentingan.

Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucuthak kepada SPRM.

Permohonan lucuthak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Secara keseluruhannya dari tahun 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

8 FEBRUARI 2024


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |