Kenyataan Media

Tun Daim Disiasat Berlandaskan Undang-Undang, Akta SPRM 2009 Dan AMLATFPUAA 2001

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Tun Abdul Daim bin Zainuddin mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

Pertamanya, SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Tun Abdul Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan.

Berhubung siasatan kes Tun Abdul Daim ini, SPRM telah membuka kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Tun Abdul Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih).

Tun Abdul Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Walau bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

Perlu ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah Suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA

30 DISEMBER 2023


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |