Kenyataan Media

Lima Ahli Baharu JKMR Terima Surat Cara Pelantikan Hari Ini

SERAMAI lima ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) telah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 9 Oktober 2023 hingga 8 Oktober 2026.

Pelantikan tersebut adalah atas nasihat Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Kesemua yang dilantik terdiri daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat. 

Secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli dan dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan iaitu Ahli Dewan Negara, YB Senator Tuan Ir. Md. Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Tuan Hassan Abdul Karim.

Lima ahli JKMR baharu terdiri daripada:

1. YB Senator Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Pengerusi)
        Yang di-Pertua Dewan Negara

2. YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah 
         Ahli Parlimen Paya Besar

3. YB Tuan Mohamad Shafizan Kepli
        Ahli Parlimen Batang Lupar

4. YB Tuan Lo Su Fui
        Ahli Parlimen Tawau

5. YB Puan Young Syefura Othman
        Ahli Parlimen Bentong

Ahli JKMR berperanan untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek permasalahan rasuah dalam negara. Selain itu, JKMR juga dikehendaki mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap perjalanan dan fungsi Suruhanjaya ini di bawah Akta SPRM 2009.

Semoga dengan pelantikan ahli JKMR dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti Suruhanjaya ini dalam penunaian fungsi-fungsinya.

Surat cara pelantikan bagi ahli JKMR tersebut telah diserahkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

                                                                                
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

28 NOVEMBER 2023


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |