Kenyataan Media

Isu Video Viral Di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SACC, Shah Alam

Isu yang dibangkitkan adalah berkenaan satu video yang telah tular di media sosial yang mana tohmahannya adalah segerombolan individu bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam. 

Dikatakan juga, penjaga pintu di PPV tersebut telah mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit.

Hasil risikan mendapati, kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC, Shah Alam sepertimana dikatakan dalam video tersebut. 

PPV Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). 

Walau bagaimanapun, terdapat masalah pada sistem di mana temujanji untuk individu juga terselit di PPV Midlands ini.

Oleh itu, dikatakan punca kesesakan adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin. 

Tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu untuk dapat masuk adalah tidak benar.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan di media sosial.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
6 OGOS 2021


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi | 

Warga SPRM