Berita Menarik

Perjuangan Menentang Rasuah Perlu Kerjasama Dan Sokongan Semua Pihak

Gua Musang, 25 April – Pembukaan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Gua Musang, Kelantan adalah satu langkah tepat kerana jajahan Gua Musang merupakan jajahan terbesar di Kelantan dengan jumlah penduduk mencecah lebih 100,000 orang.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, daerah itu dilihat semakin berkembang maju dengan pelbagai aktiviti pertanian, perindustrian, perlombongan, pembalakan dan eko pelancongan sekali gus mewujudkan banyak aktiviti ekonomi serta peluang pekerjaan.

 

“Perkembangan positif ini dalam masa sama akan membuka ruang kepada peningkatan risiko berlakunya jenayah termasuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

 

“Pembukaan pejabat SPRM Cawangan Gua Musang ini adalah bukti komitmen kami meluaskan jangkauan dan kehadiran di setiap sudut negara dalam usaha memerangi jenayah rasuah seterusnya menjadikan jajahan Gua Musang sebagai sebuah jajahan yang bebas rasuah,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan pembukaan pejabat SPRM Cawangan Gua Musang, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, pembukaan pejabat itu adalah cawangan kedua selepas Mersing dan SPRM merancang membuka dua lagi pejabat cawangan di Cameron Highlands, Pahang dan Keningau, Sabah.

 

Tan Sri Azam berkata, perjuangan menentang rasuah juga tidak boleh diletakkan di bahu penguatkuasaan undang-undang semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak

 

“Saya menyeru warga daerah ini untuk bersama-sama SPRM dengan melaporkan sebarang kes rasuah yang disyaki dan kami akan menyiasat setiap aduan dengan teliti selari dengan prinsip bebas, telus dan professional,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, KPKPj Rosli Husain berkata, pejabat SPRM Cawangan Gua Musang telah memulakan operasinya pada 2 Januari 2024 dengan kekuatan seramai empat pegawai dan seorang kakitangan gunasama.

 

Pejabat ini yang terletak di Aras 1, Bangunan Persekutuan Gua Musang dilengkapi dengan bilik ketua cawangan dan bilik merakam kenyataan selain ruang kerja.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Pengarah Kanan, Bahagian  Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Ketua Jajahan Gua Musang, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Hj Nik Raisnan Daud, Pengarah-pengarah Bahagian  dan Negeri SPRM.

Hit : 421