Berita Terkini

Program Jalinan Mesra Keluarga SPRM Tahun 2024 Meriah, Kekalkan Semangat Muhibbah Dan Permuafakatan

Putrajaya, 24 April – Sambutan Aidilfitri di Program Jalinan Mesra Keluarga SPRM Tahun 2024 disambut meriah dengan kehadiran hampir 1,000 warga SPRM.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika membacakan teks ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Hj Azam Baki berkata program ini merupakan satu wadah untuk memupuk sikap saling hormat-menghormati, bertolak ansur dan mengeratkan hubungan silaturahim.

 

“Semoga semangat muhibbah dan permuafakatan ini dapat dikekalkan kerana ia akan menjadi tunjang kekuatan kita untuk menempuhi cabaran dan rintangan di masa akan datang.

 

“Aidilfitri juga memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi tali persahabatan yang sedia terjalin,” katanya.

 

Majlis turut diserikan dengan acara penyampaian sumbangan kepada 67 penerima terdiri daripada anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dalam kalangan anak warga SPRM.

 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi.

 

Terdahulu, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki menyaksikan Majlis Simbolik Menandatangani Akuan Jawatan SPRM di Majlis Perhimpunan Bulanan SPRM Bil.2/2024 di Auditorium SPRM.

 

Turut diadakan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Amin Idris sempena  Majlis Perhimpunan Bulanan tersebut.


Hit : 354