Berita Terkini

Enam Keputusan Penting Diputuskan Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional Siri 1 Bil.1 Tahun 2024

Bangi, 24 April - Enam keputusan penting telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 1 Bil.1 Tahun 2024 yang telah diadakan di Bangi Resort Hotel, semalam.

 

Mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz itu adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuhkan tatakelola kerajaan bagi mengekang pembaziran, ketirisan dan rasuah.

 

Enam keputusan penting itu ialah:

 

Pertama, laporan pelaksanaan syor penambahbaikan melalui sesi khidmat nasihat oleh SPRM dijadikan sebagai agenda tetap dalam Mesyuarat JTK Peringkat Kementerian/Kerajaan Negeri/Jabatan/Agensi sebagai langkah pemantauan ke atas kementerian dan kerajaan negeri.

 

Kedua, laporan tindakan ke atas LSPRM akan dijadikan agenda tetap dalam Mesyuarat JTK Peringkat Kementerian/Kerajaan Negeri/Jabatan/Agensi untuk memantau tindakan ke atas LSPRM sehingga semua LSPRM selesai diambil tindakan oleh kementerian/kerajaan negeri/jabatan/agensi.

 

Ketiga, Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setahun dan perlu dilaporkan kepada Unit Integriti masing-masing seterusnya melaporkan ke Bahagian Pengurusan Integriti (BPIA).

 

Keempat, hasil dapatan naziran berhubung isu dan kelemahan tatakelola di kementerian/kerajaan negeri/jabatan/agensi akan dilaporkan secara berkala pada setiap bilangan ketiga Mesyuarat JTK Peringkat Nasional.

 

Kelima, garis panduan pengurusan surcaj Kementerian Kesihatan Malaysia akan diteliti oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk digunapakai oleh semua kementerian/agensi lain.

 

Keenam, penubuhan dua Pasukan Khas Perunding (PKP) bagi meneliti dan memperhalusi lanjut isu-isu yang telah dibangkitkan. Pasukan pertama berkaitan garis panduan yang jelas kepada penjawat awam yang menyerah diri untuk mengikuti program pemulihan narkotik di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

 

Sementara itu pasukan kedua adalah berkaitan mekanisme tuntutan pembayaran bil perubatan melibatkan warga asing yang mengakibatkan kerugian kepada kerajaan berjumlah RM49 juta.

 

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Hj Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Ketua Setiausaha Kementerian (KSU); Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK); wakil-wakil KSU/SUK/Jabatan Peguam Negara/Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Audit Negara.


Hit : 577