Berita Menarik

Kongsi Pengalaman Perangi Rasuah Bersama Government Inspectorate of Vietnam

Putrajaya, 23 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai usaha-usaha antirasuah yang dilaksanakan kepada delegasi dari The Government Inspectorate of Vietnam (GIV) sempena lawatan rasmi ke Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.


Dalam sesi lawatan selama lima hari bermula 22 hingga 26 April yang diketuai oleh Deputy Government Inspector General GIV, H.E Dang Cong Huan itu telah disambut oleh Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar.


Dato' Mohd Hafaz dalam ucapannya berkata, pertemuan ini menjadi platform untuk menjalinkan kerjasama lebih erat sejak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2010 serta pada masa sama memupuk hubungan dua hala bagi membincangkan isu serantau.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas lawatan kerja GIV ke Suruhanjaya ini bagi membincangkan peluang kerjasama terutamanya di dalam pertukaran maklumat mengenai antirasuah dan integriti yang bertujuan mengukuhkan usaha memerangi rasuah di peringkat antarabangsa,” katanya.


Dalam pada itu H.E Dang Cong Huan turut berbesar hati dengan pihak SPRM atas kesudian meluangkan masa dan bersedia untuk berkongsi pengalaman serta  kepakaran berkaitan antirasuah.


Dalam sesi lawatan itu juga, delegasi GIV telah dibawa melawat ke beberapa fasiliti di Ibu Pejabat SPRM termasuk Konti MACC FM dan 'Podium' di aras tujuh. 


Delegasi ini turut diraikan dengan jamuan makan malam yang dihoskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di sebuah hotel di Putrajaya.


Hit : 363