Berita Menarik

Konvensyen Siasatan Platform Tepat Berkongsi Pengetahuan Dan Kejayaan

Kuala Lumpur, 23 April – Semua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutama pegawai baharu perlu mengambil peluang berbincang dan berkongsi pengalaman dengan pegawai kanan atau pegawai yang lebih berpengalaman dalam penyelesaian kes terutamanya bagi isu dan perkara berulang. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, Konvensyen Siasatan SPRM Tahun 2024 ini perlu dijadikan platform untuk membincangkan isu-isu baru bagi menambahbaik proses kerja atau pendekatan operasi.


“Pengalaman yang panjang dalam operasi, sentiasa menjadi kenangan manis kepada saya. Oleh itu, semasa taklimat kes, saya sentiasa menekankan mengenai fakta-fakta bagi menguatkan keterangan supaya siasatan SPRM diyakini oleh Timbalan Pendakwa Raya dan Mahkamah seterusnya akan menyumbang kepada kejayaan kes.


“Pegawai yang terlibat dalam siasatan perlu memahami dan boleh menjelaskan dengan baik mengapa prosedur atau tindakan diambil. Pegawai tidak boleh mengemukakan jawapan ianya adalah arahan pegawai kanan tanpa mengetahui dan boleh menjelaskan mengapa tindakan berkenaan diambil,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Siasatan SPRM Tahun 2024 yang diadakan di Double Tree By Hilton Hotel, Kuala Lumpur di sini, semalam.


Konvensyen yang diadakan mulai 21 hingga 24 April 2024 itu bertemakan Integriti Terbilang, Siasatan Cemerlang.


Dalam pada itu, Tan Sri Azam turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pegawai Sektor Operasi dan SPRM Negeri yang telah menyumbang kepada pencapaian cemerlang daripada segi siasatan, pertuduhan dan lucuthak.


Katanya, pencapaian itu telah memberi sumbangan kepada negara di mana YAB Perdana Menteri juga telah meletakkan kepercayaan dan harapan tinggi kepada SPRM selain jaminan untuk memberikan pengiktirafan bersesuaian kepada SPRM atas kejayaan menyelamatkan hasil negara daripada ketirisan dan rasuah.

“Konvensyen ini juga merupakan platform tepat bagi berkongsi kejayaan-kejayaan operasi Ibu Pejabat dan Negeri terutamanya bagi meningkatkan pencapaian kepada empat bidang tumpuan hala tuju operasi tahun ini.


“Saya menggesa isu-isu siasatan dan perundangan dibincangkan dalam Konvensyen ini bagi meningkatkan pengetahuan para peserta serta membangkitkan isu-isu yang boleh dijadikan sebagai resolusi yang akan diteliti oleh pengurusan tertinggi SPRM bagi penambahbaikan organisasi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM turut memberi peringatan kepada semua pegawai agar menjaga integriti dan nama baik SPRM kerana pihak pengurusan tertinggi akan mengambil tindakan tegas berkaitan kes salah laku.


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.


Hit : 283