Berita Terkini

Hala Tuju Dan Transformasi KSR Perlu Kekal Relevan

Putrajaya, 26 Mac - Kelab Sukan Dan Rekreasi (KSR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu terus kekal relevan di dalam memartabatkan pengurusan dan aktivitinya.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki berkata, berdasarkan laporan tahunan KSR, SPRM perlu melakukan banyak transformasi ke arah penambahbaikan dengan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti riadah.

 

"Saya yakin ramai yang menjalankan aktiviti riadah dengan berbasikal secara berkumpulan dan perpaduan ini dapat disemarakkan menerusi semangat setia kawan 'Esprit De Corps' yang sebenar.

 

"Saya memerlukan sokongan semua ahli KSR untuk terus kekal sihat  dan memperbanyakkan aktiviti berbasikal dengan lebih kerap supaya kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KSR SPRM Tahun 2024 yang dihadiri Presiden KSR, PsK Saiful Azri Mohamad bersama 240 ahli KSR di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

 

Tan Sri Azam berkata, selaku penaung, beliau menyokong aktiviti sukan-sukan di bawah anjuran KSR seperti bola sepak, bola tampar dan sebagainya.

 

Katanya, ramai warga SPRM yang mempunyai bakat-bakat terpendam di dalam bidang sukan dan berharap KSR dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk memudahkan kelab ini mempunyai pencalonan sedia ada pada masa akan datang.

 

Pada mesyuarat itu juga, turut diadakan sesi pemilihan ahli jawatankuasa KSR yang baharu bagi tahun 2024-2026 dimana PPj Mohd Fadzil Md Amin telah dilantik sebagai Presiden KSR manakala PsK Saiful Azri Mohamad pula dilantik sebagai Timbalan Presiden KSR.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi serta Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.


Hit : 612