Berita Menarik

FELCRA Berhasrat Menempatkan Semula Pegawai Integriti

Putrajaya, 22 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi FELCRA Berhad Malaysia di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

 

Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusi FELCRA, Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub dan disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki.

 

Dalam pertemuan ini, Datuk Haji Ahmad Jazlan telah menyatakan hasrat untuk menempatkan semula pegawai integriti di FELCRA. Pegawai integriti ini boleh dijadikan tempat rujukan FELCRA bagi mengelakkan berlakunya perlanggaran isu-isu integriti di FELCRA, melaksanakan program-program pengukuhan integriti di FELCRA dengan kerjasama SPRM dan seterusnya dapat meningkatkan imej FELCRA.

 

Datuk Haji Ahmad Jazlan juga merakamkan ucapan tahniah kepada SPRM kerana Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023.

 

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Sri Azam menyambut baik hasrat FELCRA dan menyatakan Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2009 menetapkan supaya semua Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan mewujudkan Pegawai Integriti Bertauliah / Certified Integrity Officer (CEIO) yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program-program integriti di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, TPj Lim Bee Kean.


Hit : 541