Berita Menarik

SPRM Sasar Lebih Ramai Pegawai Mahir Mengendalikan Poligraf

Putrajaya, 22 Mac 2023 – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi American Polygraph Association (APA), Mr Donald Krapohl di sini, hari ini.

 

Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Mr Donald Krapohl atas perkongsian pengalaman dan pengetahuan bersama pegawai-pegawai SPRM dalam Latihan Poligraf Berakreditasi yang julung kali diadakan selama tiga bulan sejak Januari lalu.

 

“SPRM menyasarkan lebih ramai pegawai mempunyai kemahiran mengendalikan poligraf dalam menjalankan siasatan.

 

“Sehingga kini SPRM mempunyai 16 orang pegawai terlatih dalam penggunaan poligraf. Mereka juga merupakan barisan pelapis yang seterusnya dapat meletakkan SPRM sebagai peneraju dalam penggunaan poligraf,” katanya. 

 

Beliau turut menyarankan supaya Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menjadi hub program latihan.

 

“Saya akan memberi sokongan penuh terhadap apa-apa cadangan program latihan yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para pegawai SPRM,” katanya.

 

Mr Donald Krapohl turut berkongsi harapan agar para pegawai yang ditauliahkan dapat menjadi pakar poligraf di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dan menjadi yang terbaik di peringkat Asia dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

 

Hadir sama, Pengarah MACA, Dato’ Hj. Idris Zaharudin.


Hit : 483